CAMPAK adalah sejenis penyakit yang mudah menyerang kanak-kanak kecil. Penyakit ini disebabkan oleh sejenis virus dan mudah berjangkit kepada kanak-kanak kecil bawah umur 10 tahun.
Penyakit ini boleh berjangkit apabila seseorang itu terdedah kepada pengidap campak. Iamerebak melalui udara, apabila pesakit bercakap, batuk bersin ataupun berludah.
Sungguhpun campak dianggap biasa ianya boleh mendatangkan komplikasi, terutamanya sekiranya kanak-kanak itu lemah dan taraf pemakanannya juga berkurangan.
Peringkat di mana penyakit ini mudah berjangkit ialah ketika sebelum ruam campak keluar yakni di antara 10 hingga 14 hari.
Kadar teruk penyakit ini berbeza dari seorang ke seorang berdasarkan taraf pemakanan dan kesihatan seseorang.
Kadangkala penyakit ini ringan — kanak-kanak itu demam sedikit sahaja diikuti dengan tumbuh ruam-ruam merah dan tidak beberapa hari kemudian sembuh dengan sendiri.
Bagaimanapun, kebanyakan kanak-kanak menunjukkan tanda-tanda seperti berikut.
Tanda-tanda awal penyakit pada bayi; biasanya bayi didapati demam meragam, letih lesu disertai dengan selsema, batuk, mata berair dan merah.
Lagi satu tanda awal demam campak ialah terdapatnya bintik-bintik putih yang dikelilingi warna merah di bahagian dalam mulut kanak-kanak.
Pada peringkat awal suhu badan kanak-kanak tinggi, batuk teruk dan kadangkala kanak-kanak ini juga mengalami cirit-birit, muntah ataupun susah kencing.
Jika suhu badan terlalu tinggi, ini akan disertai oleh demam sawan!!!
Pada hari keempat demam mula turun dan kira-kira pada hari kelima ruam mula timbul dari kepala menurun ke tangan, badan dan kaki.
Enam atau tujuh hari selepas ruam campak keluar barulah ruam campak yang halus dan bertompok-tompok merah mula menghilang.
Jika keadaan kesihatan anak kurang memuaskan dan anak itu pula kurang zat makanan dan kurang daya tahan penyakit campak itu lebih teruk dan ruam campak akan mening-galkan bekas hitam.
Pada ketika ini juga keadaan batuk yang teruk dan kadangkala anak sesak atau susah bernafas.
Komplikasi sampingan
-------------------------------
Biasanya sekiranya keadaan kesihatan kanak-kanak baik, kuat daya tahan dan taraf pemakanan baik, campak akan mudah sembuh.
Sebaliknya, sekiranya taraf kesihatan dan pemakanan rendah anak yang diserang campak itu mudah diserang komplikasi sampingan seperti jangkitan telinga, jangkitan paru-paru, jangkitan otak dan lain-lain, maka lambatlah mereka sembuh.
Jangkitan telinga biasanya berlaku dalam hari kelima dan keenam di mana kadangkala sakit itu disertai dengan keluar nanah.
Jangkitan saluran pernafasan dan paru-paru biasanya boleh dikesan apabila batuk bertambah teruk dan kadar pernafasan dan kadar nadi tinggi dan juga suhu badan naik semula.
Kalau kanak-kanak ini dirawati segera ini akan mengambil masa selama lebih kurang tujuh hingga 10 hari untuk sembuh.
TAPI, jika anak ini tidak menerima rawatan seperti ubat antibiotik, keadaan boleh bertambah teruk dan boleh membawa maut.
Maut boleh berlaku tiga atau empat hari selepas jangkitan paru-paru dan jangkitan paru-paru ini boleh berlaku selepas ruam campak hilang.
Biasanya ibu-ibu tidak tahu bahawa jangkitan paru-paru ini boleh berlaku akibat dari penyakit campak. Satu lagi komptikasi yang boleh timbul akibat penyakit campak ialah seminggu atau dua selepas campak sembuh tiba-tiba si pesakit menunjukkan tanda-tanda sistem urat sarafnya terganggu.
Rawatan boleh menyembuhkan kanak-kanak itu dari komplikasi tersebut tetapi kadangkala terjadi juga kecemasan di mana kanak-kanak itu tidak sedarkan diri buat beberapa minggu atau kadangkala mengakibatkan lumpuh.
Apapun, 60 hingga 70 peratus dari kanak-kanak yang diserang campak sembuh sementara 10 peratus lagi diserang komplikasi akibat campak.
PERINGATAN KEPADA IBU-IBU!!!
* Jangan pandang ringan pada demam campak. Sebaik saja tanda penyakit campak dikesan, bawa anak berjumpa doktor.
* Bagi anak-anak yang sedang demam campak berikan dia minum air yang banyak supaya demam cepat turun dan air serta zat besi yang hilang akibat muntah serta cirit-birit mendapat gantian.
* Pastikan suhu badan turun dengan mendemah badan anak dengan air sejuk. Pakaikan dia pakaian nipis.
* Asingkan kanak-kanak ini dari anak-anak yang lain.
* Sekiranya anak batuk teruk atau susah bernafas, bawa cepat ke hospital untuk dirawat.
* Biasanya doktor akan memberi ubat bukan semata-mata untuk merawat penyakit tetapi juga untuk mengelakkan dari komplikasi atau jangkitan sampingan yang mungkin menyerang.
* Tidak ada ubat tertentu untuk menyembuhkan penyakit ini.
* Beri makanan yang berzat kepada anak-anak untuk meninggikan taraf makanan dan kesihatan anak.
KAEDAH PENCEGAHAN?
Pada masa sekarang terdapat vaksin yang boleh mencegah penyakit campak. Pelalian ini diberikan kepada kanak-kanak dari usia sembilan bulan hingga dua tahun. Kanak-kanak bawah enam tahun juga boleh diberi pelalian ini. Pelalian ini boleh didapati dari semua klinik dan pusat kesihatan untuk mencegah campak dan mengelakkan dari sebarang komplikasi.
Sumber asal: Seribu Warna Pelangi
Capaian baru: Harmoni































