.
Sabtu yang suram buat rakyat Malaysia...
bukan banjir di kampung setinggan...
bukan tsunami di tepian pantai...
bukan kapal dipukul ribut di lautan...
bukan kemalangan ngeri di Lebuhraya Utara-Selatan...
bukan kes bunuh...
bukan kes rogol...
bukan aduan mangsa penyimbah asid...
bukan aduan ditipu sindiket gores dan menang...
bukan tangkapan pelacur...
bukan rayuan keldai dadah...
tapi teriakan lemah anak yatim yang ditimbus gumpalan tanah...

rintihan pilu anak yatim yang tersepit dalam bencana...

tangisan pilu anak yatim yang dihempap batu dan kayu...

semua ini ternyata berlaku dalam sekelip mata...

Al-Fatihah buat anak-anak yang pergi...semoga kamu ditempatkan dikalangan orang beriman...
Semoga Allah memberikan keselamatan dan kekuatan buat pasukan mencari dan menyelamat...
...dan semoga masih ada anak-anak yang terselamat biarpun tertimbus dalam runtuhan tanah...
Amin Ya Rabbal Alamin...
***ikuti sebahagian berita mutakhir yang dipaparkan media***
Harian Metro - Mutakhir
KAJANG: Seramai 12 orang lagi penghuni Rumah Anak Yatim Al-Takwa, FELCRA Semungkis, Batu 14, Hulu Langat, dekat sini, dikhuatiri tertimbus dalam kejadian tanah runtuh petang ini.
Sehingga petang ini, seramai tujuh mangsa telah dikeluarkan manakala dua kanak-kanak disahkan terkorban.
Rumah itu menempatkan 49 orang termasuk lima penjaga di mana seramai 28 orang terselamat dalam kejadian kira-kira jam 2.20 petang tadi.
----terbaru, maklumat terkini mangsa yang tertimbus...
Yang meninggal (Al-Fatihah)
1. Azrel (8) 2.Nael (8) 3. Eqim 4. Zaim 5. Rahimi 6. Angah.
Yang selamat
1. Khairul (9) 2. Hairis 3. Harris 4. Aizat 5. Alaudin 6. Abg Din 7. Shafiz 8.Akmal
Yang masih tertimbus
1. Riz (9) 2. Shahrul (9) 3. Boboy (10) 4. Lokman (11) 5. Fahad (9) 6. Aiman (10) 7. Hasril (11) 8. Abg Farid (34) 9. Abg Iwan (33) 10. Hazim (9) ........
Bernama
21 Mei, 2011 21:10 PM
24 Orang Tertimbus Dalam Kejadian Tanah Runtuh Di Hulu Langat
KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Seramai 24 orang terdiri daripada anak yatim, warden dan kakitangan Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Hulu Langat dekat sini Sabtu.
Setakat 8 malam, lima mayat kanak-kanak berusia 11 dan 14 tahun dikeluarkan dari runtuhan itu manakala sembilan lagi ditemui cedera termasuk seorang lelaki dewasa berusia 22 tahun, kata polis.
Penghuni yang cedera berusia antara 11 dan 17 tahun manakala lelaki dewasa itu dipercayai pekerja di rumah anak yatim berkenaan.
Kesemua yang cedera dihantar ke Hospital Kajang untuk rawatan dan setakat ini keadaan mereka tidak diketahui, kata Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah pada sidang akhbar di sini.
Beliau berkata rumah anak yatim yang terletak berhampiran bukit itu menempatkan 49 orang termasuk penghuni termasuk lima penjaga. Kesemua penghuni rumah itu adalah lelaki.
Ketika kejadian pada pukul 2.30 petang kesemua penghuni rumah anak yatim itu berada dalam sebuah khemah yang dipasang untuk persiapan satu majlis yang dijadual pada pukul 5 petang.
Runtuhan tanah dari bukit itu dikatakan menimbus keseluruhan khemah itu yang terletak di luar rumah anak yatim itu, yang terletak di lereng bukit itu.
Turut terkena runtuhan tanah itu ialah sebuah surau.
"Kami difahamkan berlaku dua kali tanah runtuh secara serentak dalam sekelip mata. Semua mereka yang berada dalam dewan itu tidak sempat menyelamatkan diri," kata Tun Hisan pada sidang akhbar di tempat kejadian.
Beliau berkata polis akan menyiasat punca kejadian.
Beliau berkata pasukan mencari dan menyelamat yang terdiri daripada Pasukan Bomba dan Penyelamat, polis dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) mengeluarkan mayat pertama pada pukul 4.30 petang, diikuti mayat kedua setengah jam kemudian dan mayat ketiga dikeluarkan pada pukul 6.10 petang.
Penolong Pesuruhjaya Bomba dan Penyelamat Putrajaya Morni Mamat berkata sehingga 8.20 malam operasi mencari dan menyelamat diteruskan dalam keadaan hujan lebat.
-- BERNAMA
21 Mei, 2011 23:03 PM
Operasi Mencari Dan Menyelamat Diteruskan Walaupun Malam Dan Hujan - Khalid
KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Operasi mencari dan menyelamat tetap akan diteruskan sehingga semua mangsa yang tertimbus akibat tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa Hulu Langat, ditemui.
Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar ketika ditemu bual menerusi Astro Awani berkata operasi mencari dan menyelamat melibatkan 200 anggota terdiri daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pasukan Mencari dan Menyelamat Malaysia (Smart), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan polis.
"Operasi mencari dan menyelamat ini akan diteruskan sampai semua mangsa ditemui walaupun hari telah malam dan keadaan hujan," katanya.
Dalam pada itu, Khalid turut meminta orang ramai supaya menjauhi tempat kejadian tanah runtuh bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku di samping untuk memberi laluan kepada petugas menyelamat menjalankan tugas dengan lancar.
"Setakat ini, saya difahamkan masih ada pergerakan berlaku pada tanah kerana cuaca yang masih hujan. Oleh itu, kita minta supaya orang ramai yang berdekatan dan yang ingin datang melihat, menjauhkan diri dari kawasan kejadian.
"Kita bimbang perkara-perkara yang tidak diingini yang lain pula berlaku," katanya.
Mengenai status rumah anak yatim berkenaan, Khalid berkata pihaknya buat masa ini menumpukan kepada operasi menyelamat terlebih dahulu dan perkara mengenai status rumah anak yatim berkenaan akan disiasat kemudian.
-- BERNAMA